SEBAHAGIAN daripada ratusan ribu pelarian Rohingya di kem pelarian Cox's Bazar. - Reuters

Yangon: Selain keganasan, kerajaan Myanmar kini membiarkan penduduk etnik Rohingya kelaparan bagi memaksa mereka meninggalkan perkampungan menunjukkan pembersihan etnik masih berlaku.

Wakil hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Andrew Gilmour, berkata: “Kaedah ‘keganasan’ sudah berubah daripada pembunuhan dan rogol beramai-ramai tahun lalu, kepada kempen kebuluran paksa bertujuan memaksa saki-baki etnik Rohingya meninggalkan perkampungan mereka.”

Pembantu Setiausaha Agung untuk Hak Asasi Manusia PBB itu memberikan kenyataan selepas bercakap dengan pelarian Rohingya yang baru tiba di kem pelarian di Bangladesh.

Menurutnya, pelarian yang baru tiba ialah dari kawasan pedalaman Rakhine.

“Pembersihan etnik Rohingya oleh rejim Myanmar masih berterusan. Saya merasakan tiada kesimpulan lain daripada apa yang kita lihat dan dengar di Cox’s Bazar,” katanya.

Kenyataan beliau mendakwa ‘mustahil’ untuk etnik Rohingya pulang ke Myanmar dalam masa terdekat walaupun Myanmar berjanji untuk mula mengambil sebahagian daripada pelarian.

“Kerajaan Myanmar sibuk memberitahu dunia ia sudah bersedia menerima semula Rohingya, namun pada masa sama memaksa mereka melarikan diri ke Bangladesh.

“Justeru, penghantaran pulang pelarian secara selamat pasti mustahil berikutan keadaan ini,” katanya.

Tentera Myanmar menutup kawasan di utara Rohingya kepada pemberita, diplomat dan banyak pertubuhan bantuan dan hanya membenarkan lawatan terkawal.

Kira-kira 700,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak keganasan bermula pada Ogos lalu dengan membawa cerita pembunuhan dan rogol oleh tentera serta penduduk Buddha yang membakar perkampungan mereka.

Setiap minggu ratusan pelarian Rohingya masih memasuki Bangladesh menunjukkan keganasan di Rakhine belum tamat.

Ratusan perkampungan Rohingya dibakar dan imej satelit terbaru menunjukkan sekurang-kurangnya 55 perkampungan musnah sepenuhnya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 5:43 AM