ABU Dar yang diburu pihak berkuasa Filipina. FOTO Agensi
Agensi

TENTERA Filipina mengenal pasti pemimpin baru atau ‘Emir’ kumpulan pengganas Daish di Asia Tenggara.

Menurut jurucakap Divisyen Pertama Tentera Filipina, Mejar Ronald Suscano, salah seorang individu yang merancang kepungan di Marawi dikenali sebagai ‘Abu Dar’ menggantikan Isnilon Hapilon yang terbunuh, tahun lalu.

The Straits Times melaporkan, Ronald berkata, Dar disifatkan sebagai kurang radikal dan tidak mempunyai banyak pengalaman tempur berbanding Hapilon, tetapi sekadar mengetuai kumpulan kecil dan ganas Abu Sayyaf.

“Isnilon lebih radikal kerana beliau lebih tua serta mempunyai lebih banyak latihan dan pengalaman. Ketika era Isnilon, Abu Dar hanyalah pemimpin bawahan,” kata Suscano dipetik beberapa laporan media Filipina, semalam.

Menurut Manila Times, Dar berasal dari wilayah Lanao del Sur, selatan Filipina dan mempunyai hubungan dengan militan di luar Filipina.

“Dia mempunyai wang, sumber dan rangkaian. Dia mempunyai kemampuan untuk memimpin,” kata jurucakap tentera, Brigadier Jeneral, Bienvenido Datuin.

Seorang pegawai keselamatan yang enggan mendedahkan identitinya berkata, tentera menjangkakan kumpulan Dar mampu membawa keluar kira-kira 500 juta peso (RM104.23 juta) dari Marawi ketika peringkat awal kepungan, lapor Malaya Business Insight.

Militan bersimpati dengan Daish daripada beberapa kumpulan Maute dan Abu Sayyaf menyerang bandar Marawi tahun lalu, susulan satu operasi ketenteraan gagal untuk bertindak di atas waran tangkap Hapilon.

Pertempuran itu mengakibatkan kematian lebih 1,100 orang. Kepungan itu menyebabkan Presiden Rodrigo Duterte mengisytiharkan undang-undang ketenteraan di pulau Mindanao, selatan Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 10:29 PM