GUOLIANG mengira wang simpanannya. FOTO Qq.com
Agensi

Beijing: Demi sayang kepada adiknya yang menghidap barah, budak lelaki berusia lapan tahun tidak makan sarapan selama dua tahun kerana menyimpan wang bagi membiayai kos rawatan adiknya.

Menurut laporan media China, Li Guoliang, dari daerah Le’an, wilayah Jiangxi, menyimpan 1,353 yuan (RM838) dalam tin biskut untuk kos rawatan adik lelakinya berusia lima tahun yang menghidap barah hati.

“Ini mesti cukup untuk merawat adik,” katanya ketika menyerahkan wang syiling dan not satu yuan kepada bapanya.

Jumlah wang simpanan Guoliang sebenarnya hanya cukup bagi kos sehari rawatan, namun menurut South China Morning Post, ia pengorbanan seorang abang yang amat bermakna.

“Saya mahu menghantar wang ini kepada ibu bapa di Beijing melalui pos, namun posmen tidak membenarkannya,” katanya.


GUOLIANG bersama keluarga termasuk adiknya (didukung) yang menghidap kanser. FOTO Qq.com

Portal berita itu yang memetik laporan Tencent menyatakan rawatan adiknya merangkumi tiga pembedahan dan 24 kali kemoterapi sejak 2016 yang menelan belanja hampir sejuta yuan (RM619,000).

Ibu bapa Guoliang tinggal berhampiran hospital tempat adiknya dirawat di Beijing, manakala dia ditinggalkan bersama ibu saudara di kampung.

Keluarga berpendapatan rendah itu kini berhutang keliling pinggang kerana datuk Guoliang juga baru menjalani pembedahan kaki, manakala neneknya sukar melihat akibat katarak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 5:53 AM