GAMBAR rakyat Russia yang bekerja dengan kontraktor ketenteraan Russia sebagai askar upahan di Syria. - Foto Daily Mail
Agensi

Kedrovoye, Russia: Russia menyatakan hanya lima rakyatnya terbunuh di Syria dan mereka tiada kaitan dengan operasi ketenteraan, namun banyak laporan menyatakan sehingga 300 tentera upahan Russia terbunuh dalam pertempuran di Deir al-Zor, 7 Februari lalu.

Russia menyatakan rakyatnya yang berada di Syria adalah pekerja kontraktor yang tiada kaitan dengan ketenteraan Russia di negara itu, namun mereka sebenarnya adalah tentera upahan Russia yang membantu rejim Presiden Bashar al-Assad.

Pertempuran di Deir al-Zor, 7 Februari lalu, membabitkan serangan udara dan bedilan meriam oleh pasukan sokongan Amerika terhadap tentera kerajaan Syria yang disokong Russia.

Reuters melaporkan, seorang wanita Russia, Valentina Berdysheva, mengesahkan anaknya menjadi pekerja kontraktor bersama lima rakannya bertempur di Syria.

Menurutnya, sekurang-kurangnya seorang daripada mereka terbunuh dan dia tidak tahu mengenai keadaan anaknya.

Valentina berkata, anaknya pernah berperang dua kali di Chechnya dan selepas itu sukar mencari pendapatan di kampungnya lalu memutuskan ke Syria.

Daily Mail melaporkan, sekurang-kurangnya tujuh lelaki dari perkampungan Kedrovoye di tengah Russia menyertai kontraktor tentera Russia di Syria.

Farkhanur Gavrilova berkata, seorang rakan anaknya, Ruslan Gavrilov, 37, menghubunginya memberitahu Ruslan terbunuh dalam pertempuran 7 Februari lalu.

Russia mengakui kehadiran tenteranya di Russia, namun menegaskan mereka adalah penasihat dan tidak terbabit dalam perang.


Yevgeny Berdyshev (kiri) menunjukkan senarai penduduk Kedrovoye di tengah Russia yang berperang di Syria (gambar tengah). Gambar kanan, Farkhanur Gavrilova berkata anaknya terbunuh di Syria. - Foto Dail Mail

Namun, ribuan rakyat Russia, terutama bekas tentera terbabit secara langsung dalam pertempuran di Syria sebagai kontraktor.

Cara itu membolehkan Russia meminimumkan jumlah korban tenteranya di Syria, membantu mengurangkan publisiti buruk kerajaan.

Menurut Gavrilova, anaknya dan rakan-rakannya menyertai kontraktor terbabit kerana bayaran lumayan.

Wilayah Krasnodar di selatan Russia ialah pusat latihan syarikat kontraktor terbabit, Wagner, yang menyediakan khidmat untuk Kementerian Pertahanan Russia dan menurut Gavrilova, anaknya ke wilayah berkenaan sebelum ke Syria.

Seorang lagi penduduk, Yevgeny Berdyshev, berkata abang tirinya, Alexander Potapov, 54, yang pernah berperang di Chechnya, juga ke Syria.

Menurutnya, abangnya pernah menunjukkan kertas mengandungi senarai enam penduduk kampung itu yang ke Syria.

Menurut seorang pegawai Amerika, dalam pertempuran 7 Februari lalu, pasukan bersenjata sekutu Assad, dengan sokongan artileri, kereta kebal, roket dan mortar menyerang Tentera Demokratik Syria (SDF) sokongan Amerika di Deir al-Zor.

Pasukan khas Amerika ketika itu berada bersama SDF dan mereka melancarkan serangan balas, membunuh lebih 100 tentera sekutu Assad.

Menurut sumber Russia, ramai pekerja kontraktor tentera Russia antara yang terbunuh dalam serangan itu.

Yevgeny Shabayev, ketua pasukan separa tentera yang ada kaitan dengan kontraktor ketenteraan Russia, berkata jumlah korban tinggi kerana tiada perlindungan serangan udara dan serangan bukan dilakukan gerila biasa sebaliknya tentera yang mampu melancarkan serangan udara.

“Pesawat pengebom datang dan selepas itu helikopter penggempur Apache tiba membuat pembersihan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 5:27 AM