SUMBER air utama Cape Town adalah daripada empangan Theewaterskloof di pinggir Grabouw yang sudah kering. - Agensi
Agensi

Cape Town: Kemarau teruk menyebabkan empangan Theewaterskloof, empangan terbesar bagi membekalkan air kepada penduduk Capetown, hampir kering dan bekalan yang ada kini hanya cukup untuk 90 hari bagi kegunaan 3.74 juta penduduk bandar raya kedua terbesar Afrika Selatan itu.

Menurut laporan Daily Mail, imej satelit menunjukkan empangan Theewaterskloof yang sebelum ini menampung sehingga 480,000 megaliter air, semakin mengering.

Imej itu juga menunjukkan kawasan sekitar empangan yang sebelum ini menghijau, kini menjadi tanah gersang.


GAMBAR satelit yang dirakam pada 17 Februari 2015 menunjukkan keadaan empangan Theewaterskloof yang penuh dengan air. - Agensi

Reuters melaporkan, berikutan itu, kerajaan terpaksa mengehadkan penggunaan air dalam usaha mengelak berlakunya ‘Hari Sifar’ - dijangka pada 16 April - iaitu tiada lagi bekalan air apabila paras empangan berkenaan kurang 13.5 peratus.

Kerajaan kini mengehadkan penggunaan air tidak lebih 50 liter sehari bagi seorang penduduk berbanding kebiasaannya 87 liter. Malah mencuci kenderaan, mengisi air dalam kolam renang serta menyiram taman tidak dibenarkan.

Mereka yang didapati menggunakan air berlebihan berdepan denda atau peranti mengehadkan bekalan air dipasang di rumah mereka.


KEADAAN empangan Theewaterskloof yang kering kontang dalam gambar satelit yang dirakam pada 24 Januari lalu. - Agensi

Mulai Khamis lalu, pihak berkuasa mengawal semua sumber air semula jadi, seperti mata air dan air terjun sekitar bandar raya itu yang sebelum ini menjadi tumpuan orang ramai mengambil air yang kadang-kadang mencetuskan kekecohan dan pergaduhan.

Industri pelancongan turut terjejas apabila hotel diminta menggunakan air masin sebagai ganti air bersih untuk kolam renang dan menggesa restoran tidak menggunakan kain alas meja dan napkin yang perlu dicuci serta menggunakan cawan dan pinggan pakai buang.

Malah, pelanggan hotel juga dihadkan masa mandian kepada dua minit atau kurang.

Kira-kira 10 juta pelancong mengunjungi Cape Town tahun lalu, yang mempunyai pantai menarik, ladang wain dan pemandangan indah pergunungan Table.

Jawatankuasa Parlimen sedang menimbang untuk melaksanakan kawalan harga jualan air botol yang ketika ini melonjak tinggi berikutan peniaga mengambil kesempatan mengaut untung mudah.


BOTOL air dicatu di kedai untuk mengelakkan pembelian panik. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 9:01 AM