Gambar yang dikeluarkan Yayasan Pemuliharaan Orang Utan Kalimantan yang dirakam pada 2 Januari lalu, menunjukkan bangkai orang utan tanpa kepala yang terapung dalam sungai di Barito, Kalimantan Tengah. - Foto via AFP
AFP

DUA lelaki yang ditahan kerana membunuh dan memenggal kepala orang utan, mendakwa mereka bertindak demikian kerana mempertahankan diri.

Mereka menembak orang utan berkenaan beberapa kali sebelum memenggal kepala haiwan itu dan melemparkan bangkainya ke dalam sungai di Barito, Kalimantan Tengah.

Kedua-dua penoreh getah itu mengaku membunuh orang utan jantan diancam kepupusan yang bangkai tanpa kepala ditemui bulan lalu.

Haiwan itu juga didapati tiada bulu akibat terbakar dengan kesan sekurang-kurangnya 17 tembakan.

Ketua polis Kalimantan Tengah, Anang Revandoko, berkata polis merampas parang yang digunakan untuk menyerang haiwan itu.

“Mereka menembak haiwan itu beberapa kali tetapi ia tidak mati. Seorang daripada mereka memenggal kepala dari belakang.

“Kepala haiwan itu ditanam di belakang rumah,” katanya.

Gambar bangkai haiwan itu yang tanpa kepala terapung dalam sungai, tular dan mencetuskan kemarahan aktivis hak haiwan.

Menurutnya Anang, mereka mendakwa membunuh orang utan itu kerana takut melihat haiwan besar berkenaan tiba-tiba bergerak ke arah mereka.

Jika disabitkan, suspek berusia 32 dan 41 tahun itu, berhadapan hukuman penjara lima tahun.

Orang utan boleh membesar sehingga saiz manusia dan mempunyai tangan yang kuat namun biasanya menyerang kecuali habitatnya terancam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 10:51 PM