Pramugari penerbangan yang tiba di Banda Aceh, hari ini. FOTO EPA
Reuters

KERAJAAN autonomi Aceh mewajibkan pramugari Islam semua syarikat penerbangan supaya memakai tudung bagi penerbangan ke wilayah itu.

Reuters melaporkan, kerajaan Aceh mengedarkan surat mengenai arahan itu yang dialamatkan kepada syarikat penerbangan kebangsaan Indonesia, Garuda, serta beberapa syarikat tambang murah, termasuk syarikat dari Malaysia, AirAsia dan Firefly.

“Semua pramugari perlu memakai jilbab (tudung) mengikut fesyen Islam yang mematuhi undang-undang syariah,” kata surat itu.

Lapangan terbang antarabangsa di Banda Aceh menyediakan puluhan penerbangan domestik serta antarabangsa ke Malaysia dan Arab Saudi.

Gabenor Aceh Besar, Mawardi Ali berkata, pramugari bukan Islam tidak diwajibkan memakai tudung namun pramugari Islam wajib memakai tudung ketika dalam penerbangan ke Aceh dan ketika berada di wilayah itu.

AFP melaporkan Mawardi berkata, pihaknya akan memaklumkan mengenai peraturan itu kepada semua syarikat penerbangan minggu ini.

“Selepas ini kita akan memberitahu hukuman yang bakal dikenakan jika ada yang melanggar peraturan itu.

“Jika ada (pramugari Islam) yang gagal mematuhi arahan berkenaan, kami akan menegurnya. Jika kesalahan berulang, undang-undang syariah akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau bagaimanapun, tidak menyatakan jenis hukuman yang akan dikenakan.

Sementara itu, jurucakap Garuda Indonesia, Ikhsan Rosan berkata, syarikat penerbangan dan penerbangan tambang murahnya Citilink, menyokong arahan itu dan akan mematuhinya.

Aceh yang mendapat kuasa autonomi pada 2001 melaksanakan undang-undang syariah sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 4:08 PM