SUU Kyi
AFP

Yangon: Diplomat Amerika Syarikat (AS) Bill Richardson semalam meletak jawatan daripada panel diwujudkan pemimpin de facto Myanmar, Aung San Suu Kyi berhubung isu Rohingya.

Richardson juga menyelar pemegang anugerah Nobel Keamanan itu sebagai ‘tiada kepemimpinan moral’ dalam menangani krisis Rohingya.

Dalam kenyataannya, bekas gabenor AS yang juga penyokong Suu Kyi secara terbuka berkata, dia tidak dapat berkhidmat dalam jawatankuasa itu yang cuma bertujuan memberi gambaran indah di sebalik realiti krisis itu.

Puluhan ribu Rohingya meninggalkan kampung halaman mereka di negeri Rakhine di Myanmar susulan operasi tentera di wilayah berkenaan.


LELAKI Rohingya membawa batu untuk membina jalan di kem pelarian Kutupalong di daerah Ukhia, Bangladesh. - AFP

“Lembaga itu nampaknya sekadar skuad penyokong polisi kerajaan tanpa bertindak mencadangkan perubahan dasar sepatutnya yang diperlukan untuk memastikan keamanan, kestabilan serta pembangunan di Rakhine.

“Saya terkejut dengan penghinaan terhadap media, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kumpulan hak asasi manusia serta masyarakat antarabangsa selain bimbang dengan ketidakjujuran dalam semua perbincangan membabitkan kewarganegaraan Rohingya,” katanya.

Richardson turut menyelar Suu Kyi yang marah dengan gesaannya untuk pembebasan dua wartawan Reuters, Wa Lone, 31, dan Kyaw Soe Oo, 27.

Kedua-dua mereka ditahan ketika melaporkan krisis Rohingya dan kini berdepan hukuman penjara 14 tahun.

Pengunduran Richardson juga berlaku beberapa hari selepas Myanmar dan Bangladesh gagal memulakan proses penghantaran pulang Rohingya pada 23 Januari lalu seperti dijadualkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 2:48 AM