ANGGOTA keselamatan memeriksa kediaman penduduk yang runtuh di Banten. - Agensi
AFP

Jakarta: Gempa kuat melanda Banten, petang semalam mencetuskan panik di Jakarta dan menyebabkan puluhan rumah rosak, selain mengakibatkan beberapa pelajar cedera teruk akibat bumbung sekolah mereka runtuh.

Kakitangan pejabat di Jakarta bertempiaran lari keluar dari bangunan masing-masing apabila pencakar langit di ibu negara itu bergegar dan bergoyang, malah ada penunggang motosikal dilaporkan terpelanting daripada kenderaan mereka akibat gempa berkenaan.

Tiada laporan kematian, tetapi kerajaan berkata, enam pelajar cedera teruk akibat keruntuhan bumbung sekolah menengah mereka di Cianjur. Dua pelajar lain cedera ringan dalam kejadian itu.

ORANG ramai bertempiaran lari keluar dari bangunan di Jakarta. - Reuters

Pekerja pusat beli-belah, Suji, 35, berkata: “Saya sedang duduk apabila tiba-tiba merasa bangunan bergegar. Saya terus lari keluar. Gegaran memang kuat dan saya terlalu takut.”

Pusat Ukuran Geologi Amerika Syarikat berkata, gempa itu pada kedalaman 43 kilometer. Tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Jurucakap kumpulan sukarelawan bantuan bencana Tagama, Abu Salim berkata, kiraan awal menunjukkan kerosakan terhadap sekurang-kurangnya 115 kediaman.

“Ada kerosakan yang ringan, ada yang serius termasuk tembok yang separa runtuh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Agensi Kaji Cuaca, Iklim dan Geofizik Dwikorita Karnawati memberitahu Metro TV: “Pusat gempa berhampiran kawasan yang terdedah kepada gegaran. Gempa susulan berkemungkinan besar berlaku.

“Saya menggesa orang ramai supaya sentiasa berjaga-jaga, terutama jika dalam bangunan yang strukturnya lemah.”

GAMBAR di Twitter menunjukkan keadaan di dalam sebuah bilik darjah di Pandeglang, Banten. - Agensi

Gempa berlaku ketika Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat James Mattis mengadakan lawatan rasmi ke Jakarta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 3:55 AM