BOONCHAI dibawa anggota polis di sebuah balai polis di Bangkok untuk ditahan reman kerana disyaki menyeludup haiwan liar. - AP
AFP

Bangkok: Polis Thailand menahan seorang lelaki dipercayai ketua sindiket penyeludupan pelbagai spesies haiwan terancam di Asia.

Tangkapan itu memberi tamparan kepada sindiket keluarga yang menyeludup gading gajah, tanduk badak sumbu dan bahagian harimau untuk peniaga di China dan Vietnam.

Boonchai Bach, 40, warga Vietnam yang mempunyai kerakyatan Thailand, ditahan atas kesalahan menyeludup 14 tanduk badak sumbu bernilai kira-kira AS$1 juta (RM3.9 juta) dari Afrika ke Thailand.

Kegiatannya terbongkar susulan penahanan kakitangan Taman Negara dan Pemuliharaan Hidupan Liar Thailand, Nikorn Wongprachan di lapangan terbang Bangkok ketika cuba menyeludup tanduk itu dari bahagian kuarantin ke apartmen berhampiran.

Ia diseludup ke Bangkok oleh lelaki China yang ditahan sehari sebelum tiba dari Johannesburg, Afrika Selatan sebelum polis mengesan Boonchai yang membiayai rangkaian itu.

“Ini adalah sindiket penyeludupan terbesar dan Boonchai adalah ketuanya,” kata Timbalan Ketua Polis Thailand, Chalermkiat Srivorakan kepada wartawan selepas suspek tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi untuk direman.

“Boonchai mengaku dia terbabit,” katanya sambil menjelaskan suspek berdepan penjara sehingga empat tahun kerana menyeludup bahagian haiwan dilindungi.

Keluarga Bach dipercayai menjalankan kegiatan itu dari Nakhon Phanom di timur laut Thailand berhampiran sempadan Laos, membabitkan dagangan jutaan dolar dengan menyeludup hidupan liar secara haram.

China dan Vietnam adalah antara pasaran terbesar haiwan terancam atau dilindungi termasuk harimau, gajah, badak dan tenggiling.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 3:41 AM