SEORANG wanita melihat serpihan bumbung sekolah yang jatuh di perkarangan sekolah rendah di Halberstadt. FOTO AFP
AFP

Berlin: Seramai 11 orang termasuk dua anggota bomba terbunuh kelmarin apabila angin kencang melanda utara Eropah, sehingga penyebabkan perhubungan udara dan kereta api turut terganggu.

Jerman yang paling teruk terjejas menghentikan semua perkhidmatan kereta api jarak jauh sekurangnya sehari, dengan beberapa penerbangan domestik turut dibatalkan.

Ribut itu membunuh lapan orang di Jerman, termasuk dua anggota bomba yang dikerah dalam operasi kecemasan dan dua lagi pemandu trak yang kenderaannya ditiup angin kencang.

Ribut yang dikenali sebagai Friederike turut merosakkan bumbung sebuah sekolah di negeri Thueringia ketika murid masih berada di bangunan terbabit.

Menurut perkhidmatan cuaca Jerman, ia ribut paling teruk melanda negara itu sejak 2007.

Di Belanda pula, dua orang terbunuh kelmarin akibat dihempap pokok tumbang akibat angin kencang yang bertiup dari Laut Utara melanda kawasan rendah.

Di Belgium pula, seorang wanita maut selepas keretanya dihempap sebatang pokok yang tumbang ketika dia memandu di kawasan Grez-Doiceau dekat Brussels.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 12:45 AM