PRICE turut mengumpul model bas mainan yang bersaiz besar. - Agensi
Agensi

London: Seorang lelaki yang gilakan bas mainan sanggup mengembara ke seluruh dunia semata-mata untuk mencari model yang paling sukar ditemui.

Geoff Price, 67, mula mengumpul bas mainan kira-kira 60 tahun lalu dan kini dia mempunyai lebih 14,000 model yang memenuhi rumah, garaj serta lamannya.

Bapa kepada dua orang anak itu mengembara ke seluruh dunia untuk mencari model bas mainan paling lama dan sukar ditemui.

Koleksinya kini dipercayai bernilai hampir £700,000 (RM3.83 juta).

Tiga bilik dan ruang tamu rumahnya yang terletak di Walsall, West Midlands kini dipenuhi dengan koleksi itu dan dia juga terpaksa membesarkan kediamannya untuk mendapatkan lebih ruang.

Buku Rekod Dunia Guinness juga mengiktiraf Price sebagai pengumpul model bas mainan paling banyak di dunia dengan jumlah 14,278 bas mainan.


PRICE bersama sebahagian koleksi model bas mainan yang dikumpulnya. - Agensi

Price dan isterinya, Linda, 62, mengembara ke Jepun, Sri Lanka, Thailand, Tunisia dan Turki untuk mencari model bas mainan.

Lelaki itu berkata, dia mula meminati bas ketika kecil lagi dan mula mengumpul bas mainan apabila ibu bapanya menghadiahkan permainan itu ketika dia berusia lapan tahun.

“Ketika kecil dan tinggal di kampung, saya mencari keseronokan dengan mengesan nombor bas.

“Sejak itu saya mula meminati kenderaan itu dan mula mengumpul model bas mainan sebagai hobi,” katanya.

Menurutnya, ramai orang tidak faham dengan hobinya sehinggalah mereka melihat koleksinya itu.

“Apabila mereka melihat koleksi ini mereka pasti tidak mempercayainya. Ia seperti sejarah permainan di seluruh dunia,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 12:59 AM