Ketua Polis Sumatera Utara Paulus Waterpauw bersama dua suspek, Azhari dan Santo, ketika sidang media di Medan, hari ini. - Foto Tribun News
Agensi

SEORANG rakyat Malaysia berusia 57 tahun maut ditembak polis Indonesia bersama dua lagi rakyat negara itu dalam operasi membanteras dadah di Medan, Indonesia, dan polis merampas 15 kilogram syabu daripada kumpulannya.

Menurut portal Tribun News, Ketua Polis Sumatera Utara, Paulus Waterpauw, berkata rakyat Malaysia itu dikenali sebagai Chin Yoo Fah atau Acin, bekerja sebagai tukang masak.

“Suspek ialah orang yang membawa dadah. Kami terpaksa bertindak tegas (melepaskan tembakan) kerana dia cuba melarikan diri,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurutnya, suspek ditahan di Jalan Imam Bonjol, depan Vihara Borobudur, selepas menahan rakan subahatnya, Azhari, 35, rakyat Indonesia dan polis merampas empat kilogram syabu.

Polis kemudian menahan tiga lagi suspek, semuanya rakyat Indonesia iaitu Tan Siong Tiong, 45, Joni @ Aguan, 47, dan Susanto @ Santo, 37 serta merampas sejumlah syabu daripada mereka.

Menurut Paulus, dua daripada mereka iaitu Siong Tiong dan Joni mati ditembak ketika cuba melarikan diri.

Beliau berkata, keseluruhan syabu yang dirampas dalam operasi itu berjumlah 15 kilogram dan dipercayai dibawa masuk dari Malaysia melalui pelabuhan Pekan Baru.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 6:02 PM