POLIS Filipina mempamerkan dadah jenis kokain yang ditemui hanyut di Legazpi City di wilayah Bicol kelmarin. - AFP
AFP

Manila: Kokain bernilai jutaan dolar yang disumbat ke dalam tong dram plastik ditemui hanyut di pantai di timur Filipina, kelmarin.

“Seorang nelayan tempatan di bandar Matnog menemui tong dram plastik itu Rabu lalu dan melaporkannya kepada pihak berkuasa tanpa mengetahui kandungannya,” kata Pengarah Wilayah Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina, Christian Frivaldo.

Hasil pemeriksaan ejen anti dadah menemui 24 kilogram kokain dibungkus dengan plastik disembunyikan di dalam tong berkenaan.

Frivaldo berkata, pihaknya menganggarkan nilai kokain berkenaan kira-kira 125 juta peso (RM10 juta).

Beliau berkata, kokain itu mungkin terjatuh dari kapal kargo Taiwan yang dilanda ombak besar di timur negara itu sehari sebelum ia ditemui.

“Sembilan anak kapal warga China, Hong Kong dan Taiwan ditahan kerajaan tempatan selepas diselamatkan dari kapal itu.

“Mereka masih dalam siasatan. Kami memeriksa kapal untuk mencari jika ada bukti tambahan di dalamnya.

“Namun, ia sukar kerana sudah separuh tenggelam,” kata Frivaldo.

Rampasan dibuat ketika kempen memerangi dadah Presiden Rodrigo Duterte menyebabkan hampir 4,000 suspek dadah dibunuh polis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 4:56 AM