MINYAK Ron 91 kini dijual pada harga 1.37 riyal (RM1.48) seliter, berbanding 0.75 riyal (RM0.81) sebelum ini. FOTO Reutrs
Agensi

Dubai: Arab Saudi yang juga negara pengeksport petroleum terbesar dunia semalam, mengumumkan kenaikan harga petrol tempatan.

Agensi berita kerajaan, SPA, melaporkan langkah itu bertujuan menjadikan penggunaan tenaga lebih efisyen, sejajar pelan reformasi untuk merangsang sumber pendapatan negara itu daripada hanya bergantung kepada minyak.

Susulan pengumuman itu, minyak Ron 91 kini dijual pada harga 1.37 riyal (RM1.48) seliter, berbanding 0.75 riyal (RM0.81) sebelum ini.

Minyak Ron 95 pula dijual pada harga 2.04 riyal (RM2.21) seliter, berbanding 0.90 riyal (RM0.98) sebelum ini.

Bagaimanapun, harga diesel untuk lori tidak berubah. Ini adalah kenaikan kedua sejak kejatuhan harga minyak dunia di pasaran antarabangsa pada 2014.

Dalam perkembangan lain, Cukai Nilai Tambah (VAT) turut dikuatkuasakan semalam di Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu dengan lima peratus cukai dikenakan terhadap kebanyakan barangan serta perkhidmatan.

Negara Teluk sejak sekian lama menarik pekerja asing dengan janji kehidupan tanpa cukai, namun kerajaan di rantau itu kini mahu meningkatkan pendapatan susulan harga minyak global yang rendah.

Minyak petrol dan diesel, makanan, pakaian, bil utiliti serta bilik hotel dikenakan cukai itu.

Namun, barangan dan perkhidmatan tertentu dikecualikan cukai termasuk rawatan perubatan, perkhidmatan kewangan serta pengangkutan awam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 9:01 AM