ANGGOTA penyelamat memeriksa feri yang terbalik di Tanjung Selor, Kalimantan Utara, Indonesia semalam. - AFP
AFP

Jakarta: Sekurang-kurangnya lapan maut dan beberapa lagi hilang selepas sebuah bot penumpang terbalik di perairan Borneo, kata pihak berkuasa.

Ia kemalangan maut maritim terbaru yang dilaporkan berlaku di Indonesia.

Pegawai kanan agensi mencari dan menyelamat tempatan, Gusti Anwar Mulyadi berkata, feri berkenaan membawa 45 penumpang sebelum insiden itu berlaku.

Feri terbabit dikatakan dilambung ombak tinggi sebelum terbalik beberapa minit selepas meninggalkan Tanjung Selor di wilayah Kalimantan Utara.

Kira-kira 33 penumpang berjaya diselamatkan setakat ini dan anggota tentera laut dikerah untuk mencari penumpang yang hilang.

Bagaimanapun, katanya, keadaan laut yang bergelora menyukarkan usaha pencarian mangsa.


MANGSA yang terselamat dalam tragedi feri karam di Tanjung Selor dibawa untuk menerima rawatan. - AFP

“Kami belum tahu punca kemalangan dan bagaimana ia berlaku. Namun, akan cuba menyiasat dan kini memberi tumpuan kepada mencari saki-baki penumpang,” kata Mulyadi.

Ia adalah nahas bot terbaru di Indonesia yang bergantung kepada kaedah pengangkutan itu untuk membawa penduduk di 17,000 pulaunya.

Pada Julai tahun lalu, lapan mati lemas dalam kemalangan bot di laluan sama dari Tarakan ke Tanjung Salor.

Pada sambutan tahun baru pada tahun lalu, seramai 23 terbunuh apabila bot pelancong dari Jakarta terbakar.

Ia membawa kira-kira 250 orang pelancong yang ingin menyambut tahun baru di Pulau Tidung berhampiran Jakarta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 8:55 AM