Erdogan
AFP

Istanbul: Presiden Recep Tayyip Erdogan mahu membuka kedutaan Turki di Baitulmaqdis Timur, ketika beliau meningkatkan serangan terhadap tindakan Presiden Donald Trump mengiktiraf bandar itu sebagai ibu negara Israel.

Erdogan sebelum ini cuba mengetuai kritikan dunia Islam terhadap tindakan Trump dengan menganjurkan satu persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, minggu lalu.

Sidang kemuncak luar biasa diadakan bagi menggesa dunia mengiktiraf Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.

Baitulmaqdis Timur diduduki Israel selepas tentera Zionis merampas kawalan kawasan itu pada perang 1967 dan tindakan terbabit tidak pernah diiktiraf komuniti antarabangsa.

“Oleh kerana ia di bawah penjajahan, kita tidak boleh membuka kedutaan,” kata Erdogan dalam ucapan kepada parti pemerintah di bandar Karaman.

“Namun dengan izin Tuhan, kita akan membuka kedutaan di sana,” katanya tanpa memberi tempoh tertentu.

Turki juga mempunyai konsulat di Baitulmaqdis.

Ankara mempunyai hubungan diplomatik penuh dengan Israel dan seperti negara lain, memiliki kedutaan di Tel Aviv.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 8:52 AM