IMEJ satelit empat kampung di Maungdaw dirakam pada 25 November (atas) dan keadaan kampung itu yang musnah dirakam pada 2 Disember lalu (bawah). - Agensi
AFP

Yangon: Pemantau Hak Asasi Manusia (HRW) mendakwa, tentera Myanmar masih membakar puluhan rumah milik penduduk Rohingya, beberapa hari selepas perjanjian penghantaran pulang ditandatangani pada 23 November lalu.

HRW mendakwa tindakan Myanmar itu menunjukkan bahawa perjanjian dengan Bangladesh berkenaan hanyalah untuk mengalih perhatian daripada tindakan kejam mereka.

Berdasarkan imej satelit, HRW berkata, bangunan di 40 perkampungan dimusnahkan pada Oktober dan November lalu, menjadikan jumlah keseluruhan yang dibakar sebahagian atau sepenuhnya sejak Ogos lalu, meningkat kepada 354 perkampungan.

Puluhan bangunan dibakar dalam minggu yang sama ketika Myanmar dan Bangladesh menandatangani perjanjian untuk menghantar pulang pelarian dalam tempoh dua bulan, lapor HRW.

“Kemusnahan yang dilakukan tentera Myanmar terhadap perkampungan Rohingya dalam tempoh beberapa hari selepas menandatangani perjanjian menunjukkan komitmen itu hanya untuk mengalih perhatian,” kata Pengarah Asia HRW, Brad Adams, dalam laporan itu.

Tentera pada Ogos lalu melancarkan kempen ketenteraan terhadap etnik minoriti Islam itu selepas mendakwa pemberontak Rohingya menyerang anggota keselamatan.

Lebih 650,000 etnik itu lari ke Bangladesh bagi melarikan diri daripada penindasan tentera termasuk pembunuhan, rogol dan bakar kediaman.


DUA kanak-kanak Rohingya bermain layang-layang di kem pelarian Balukhali berhampiran Cox’s Bazar, Bangladesh. - Reuters

Kerajaan pimpinan penasihat negara, Aung San Suu Kyi yang berdepan tekanan antarabangsa kemudiannya memeterai perjanjian dengan Bangladesh untuk menghantar pulang pelarian.

Namun HRW berkata, sukar untuk pihaknya mempercayai bahawa perjanjian itu boleh dilaksanakan secara bertanggungjawab.

“Myanmar bersikap sinis apabila Suu Kyi dan pasukannya menandatangani perjanjian penghantaran pulang yang tidak memberi jaminan sebenar perlindungan kepada pelarian.

“Selepas perjanjian dimeterai, pasukan keselamatan Myanmar terus membakar perkampungan Rohingya,” kata timbalan pengarah HRW bahagian Asia, Phil Robertson kepada AFP.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 7:51 AM