Gambar kanan, polis Israel yang menyamar menahan penunjuk perasaan di Ramallah, Tebing Barat. Gambar kiri, umat Islam memenuhi jalan raya di Dhaka, Bangladesh, berarak ke Kedutaan Amerika dan penyokong Hizbullah ketika bantahan di Beirut, Lubnan. - Foto EPA/AFP
AFP

PERSIDANGAN tergempar Pertubuhan Negara Islam (OIC) di Istanbul hari ini, menegaskan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.

Tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel bukan saja menjejaskan usaha damai malah mengundang ektrimism dan keganasan.

Persidangan dihadiri wakil 57 negara Islam itu memutuskan tindakan Trump sebagai pengumuman pentadbiran Amerika menarik diri sebagai penganjur utama usaha damai di Asia Barat.

OIC menegaskan tindakan Washington itu menjadi penggalak yang dianggap lesen oleh Israel untuk terus melaksanakan penjajahan, membina penempatan haram di wilayah Palestin, dasar apartheid dan pembersihan etnik.

Sementara itu di Riyadh, Raja Arab Saudi, Raja Salman, berkata penduduk Palestin mempunyai hak menolak Baitulmaqdis Timur daripada menjadi ibu negara Israel.

Raja Salman yang tidak menghadiri persidangan OIC seperti diharapkan, berkata: “Arab Saudi mahukan penyelesaian melalui politik bagi mengatasi krisis di rantau ini, terutama isu Palestin dan pengembalian hak penduduk Palestin, termasuk hak menubuhkan negara merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.”

Raja Salman berkata demikian ketika berucap kepada Majlis Shura yang turut menyentuh mengenai pembasmian rasuah di negara itu yang menyaksikan sejumlah menteri, bekas menteri dan kerabat diraja ditahan baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 10:36 PM