Penduduk Palestin memeriksa rumahnya yang rosak akibat serangan pesawat Israel di Gaza yang turut menyebabkan lubang besar di kawasan lapang berhampiran. - Foto REUTERS
AFP

KETIKA pemimpin negara Islam bersidang di Turki, Israel meningkatkan serangan terhadap wilayah Palestin, terutama Gaza apabila pesawatnya membedil sasaran yang didakwanya kemudahan tentera Hamas hari ini, menyebabkan tiga cedera.

Selain itu, rejim Zionis juga menahan pegawai kanan Hamas di Tebing Barat yang dijajahnya, termasuk seorang pemimpin pertubuhan itu.

Menurut Hamas, turut ditahan ialah Hassan Yousef, pengasas pertubuhan itu yang ditahan di Ramallah.

Hassan ialah anggota Parlimen Palestin yang dipilih pada 2006 dan pernah dipenjara oleh Israel pada 2012 hingga 2014.

Israel menyatakan Hassan ditahan kerana menggalakkan dan menyelia aktiviti Hamas di Tebing Barat.

Sejak Jumaat lalu, Israel membedil Gaza hampir setiap hari dan serangan hari ini, itu dilakukan berikutan ‘pelancaran sesuatu’ yang dipercayai roket dari Gaza ke wilayahnya.

Rejim itu mendakwa penduduk Palestin di kawasan pantai Gaza menembak roket dan mortar ke wilayah Israel sejak minggu lalu, selepas Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

“Tentera udara Israel bertindak balas dengan mensasarkan kemudahan tentera Hamas di selatan Semenanjung Gaza,” kata kenyataan tentera Israel.

Difahamkan lokasi yang diserang Israel itu ialah pangkalan laut Hamas di Khan Yunis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 5:29 PM