ASKAR Filipina meronda di sebatang jalan di Marawi selepas berjaya menawan semula bandar itu daripada militan Daish. - Agensi
AFP

Manila: Presiden Filipina Rodrigo Duterte semalam menggesa Kongres melanjutkan undang-undang tentera di seluruh wilayah selatan negara itu sehingga hujung tahun depan untuk memerangi kumpulan militan dan komunis.

Dalam suratnya kepada anggota Kongres, Duterte berkata, tindakan itu penting untuk menghalang pemberontakan berterusan oleh kumpulan yang menyokong Daish termasuk peningkatan ancaman daripada gerila komunis.

“Saya memohon Kongres melanjutkan lagi pengisytiharan Undang-Undang Tentera dan menggantung keistimewaan perintah habeas corpus di seluruh Mindanao dalam tempoh setahun lagi bermula 1 Januari 2018,” katanya dalam surat berkenaan.

Duterte pada Mei lalu mengisytiharkan perintah tentera di seluruh Mindanao yang meliputi sepertiga selatan Filipina dan mempunyai 20 juta penduduk untuk menghapuskan pemberontakan oleh penyokong Daish yang menawan Marawi.

Ratusan lelaki bersenjata menyerang Marawi, yang menurut pihak berkuasa sebagai kempen untuk mewujudkan pemerintahan khalifah Daish yang baru di Asia Tenggara.

Pada Oktober lalu, Duterte mengisytiharkan Marawi bebas sepenuhnya tetapi pihak berkuasa memberi amaran militan yang melarikan diri mungkin mencari dan merekrut anggota baru di Mindanao.

Tempoh undang-undang tentera biasanya terhad sehingga 60 hari, tetapi Kongres pada Julai lalu membenarkan ia dilanjutkan sehingga hujung tahun ini.

Undang-undang tentera adalah isu paling sensitif di Filipina, selepas bekas diktator Ferdinand Marcos menggunakan perintah darurat sebagai senjata utama untuk mengekalkan kuasa selama beberapa generasi.

Duterte berulang kali berkata, dia mungkin mengisytiharkan undang-undang tentera di seluruh negara, menyebabkan kumpulan hak asasi dan pengkritik memberi amaran tindakannya itu akan memusnahkan demokrasi.

Bagaimanapun, kebanyakan rakyat Filipina tetap menyokong Duterte dan percaya taktik keras digunakannya perlu untuk menyelesaikan masalah yang sudah lama berakar umbi di negara itu terutamanya konflik dengan militan Islam dan komunis.

Sementara itu, pemimpin majoriti Dewan Rakyat, Rodolfo Farinas berkata, ahli Kongres dijangka mengundi permintaan Duterte itu pada minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 6:43 AM