PENUMPANG melihat papan maklumat penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Bali semalam. - Agensi

Denpasar: Syarikat penerbangan membatalkan banyak penerbangan yang berlepas dari pulau pelancongan Bali di Indonesia semalam.

Keputusan itu dibuat selepas keadaan penerbangan diramalkan semakin getir akibat risiko letusan debu di Gunung Agung.

Jurucakap Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai berkata, pihaknya masih beroperasi seperti biasa tetapi beberapa syarikat seperti Jetstar dan Virgin Australia memilih untuk membatalkan beberapa penerbangannya.

“Keadaan penerbangan di Bali dijangka baik sepanjang hari, namun ramalan untuk malam ini (semalam) dilaporkan semakin merosot.

“Keadaan itu menyebabkan beberapa penerbangan dibatalkan,” kata Jetstar menerusi akaun Twitter miliknya.

Letusan gunung berapi itu sejak minggu lalu menyebabkan lapangan terbang ditutup beberapa hari mengakibatkan ribuan pelancong dari Australia, China dan negara lain terkandas.

Penerbangan disambung semula selepas angin berubah arah dan membawa debu gunung berapi jauh dari lapangan terbang.

Kira-kira 20 penerbangan dibatalkan petang kelmarin kerana bimbangkan debu gunung berapi yang mungkin akan merosakkan enjin pesawat dan sistem penyejukan.
- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 8:38 AM