Setya Novanto
Agensi

Jakarta: Suruhanjaya antirasuah Indonesia (KPK), mengeluarkan waran tangkap terhadap Speaker Dewan Perwakilan, Setya Novanto selepas tidak hadir untuk soal siasat berkaitan skandal penyelewengan kad pengenalan elektronik.

Beberapa anggota KPK datang ke rumah Setya di Jakarta Selatan pada malam kelmarin untuk menahannya tetapi pemimpin itu tiada di rumah.

Sehingga semalam, lokasi Setya berada masih belum diketahui.

Setya yang juga pengerusi parti Golkar sebelum ini dinamakan sebagai suspek oleh KPK berhubung skandal rasuah berkenaan.

“Untuk tujuan siasatan, KPK memutuskan mengeluarkan waran tangkap terhadap Setyo berhubung kes rasuah ini,” kata jurucakap KPK, Febri Diansyah yang dipetik Jakarta Post.

Sementara itu, peguam Setya memberitahu, pemimpin itu akan memfailkan permohonan di mahkamah untuk membebaskannya daripada dijadikan suspek.

KPK sebelum ini sudah memanggil Setya untuk disoal siasat sebanyak 11 kali sebagai saksi dan suspek dalam kes berkenaan, tetapi dia enggan hadir.

Kes rasuah yang dianggap terbesar di Indonesia itu menyebabkan negara kerugian berjumlah AS$175 juta (RM730 juta).

Beberapa tokoh politik dan ahli perniagaan sudah didakwa di mahkamah kerana terbabit dalam skandal berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 2:06 AM