Gambar amatur dirakam orang ramai menunjukkan keadaan kemalangan menyebabkan 18 maut membabitkan 30 kenderaan di Anhui, China.
AFP

SEKURANG-KURANGNYA 18 terbunuh dalam kemalangan membabitkan 30 kenderaan di lebuh raya dekat Yingshang, wilayah Anhui, China, hari ini.

Kemalangan itu membabitkan pelbagai jenis kenderaan termasuk kereta dan lori dengan ada yang remuk teruk dan terbakar.


Anggota bomba bekerja keras memadam kebakaran selepas berjaya menyelamatkan sekurag-kurangnya 17 orang dari dalam kenderaan. - Foto EPA/AFP

Menurut polis, kemalangan yang dipercayai akibat jarak penglihatan terhad berikutan jerebu itu turut menyebabkan 21 cedera dengan 11 daripadanya parah.

Beberapa kenderaan terbakar selama lebih dua jam sebelum berjaya dipadamkan.

Menurut bomba, 14 jentera dengan lebih 100 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Pihak berkuasa juga menggunakan helikopter bagi membawa mangsa ke hospital dan bomba berjaya mengeluarkan sekurang-kurangnya 17 orang dari dalam kenderaan.


Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan 30 kenderaan dekat Yingshang, wilayah Anhui, China. - Foto AFP

Tahun lalu, pihak berkuasa China menyatakan 58,000 terbunuh dalam 180,000 kemalangan jalan raya di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 9:17 PM