Putera Mansour bin Muqrin (kiri) yang terbunuh dalam nahas helikopter, Ahad lalu dan kanan, Putera Abdul Aziz bin Fahd disahkan kerajaan Arab Saudi masih hidup. - Foto Agensi
Agensi

KERAJAAN Arab Saudi hari ini, menegaskan seorang kerabat diraja negara itu yang juga anak Raja Fahd, Putera Abdul Aziz bin Fahd, 44, masih hidup selepas tersebar berita putera itu terbunuh dalam berbalas tembak ketika pihak berkuasa mahu menahannya.

Media tempatan di Teluk sebelum ini, melaporkan Putera Abdul Aziz mati ditembak ketika hendak ditahan dalam operasi anti-rasuah kerajaan Arab Saudi, Isnin lalu.

Namun, Daily Mail melaporkan, kenyataan Kementerian Penerangan Arab Saudi berkata: “Tidak benar khabar angin yang tersebar mengenai Putera Abdul Aziz bin Fahd. Putera Abdul Aziz masih hidup dan sihat.”

Namun, kenyataan itu tidak menyatakan sama ada Putera Abdul Aziz turut ditahan bersama kerabat diraja lain atau tidak.

Setakat ini, antara yang ditahan termasuk bilionair Putera Al-Waleed bin Talal (anak saudara Raja Salman), pengerusi firma pelaburan Kingdom Holding yang asetnya dianggar berjumlah AS$18 bilion yang memiliki ekuiti dalam Twitter, Lyft dan Citigroup.

Selain itu, Nasser bin Aqeel al-Tayyar (Presiden Al Tayyar Travel Group) dan Putera Miteb bin Abdullah (bekas Menteri Pengawal Kebangsaan) serta Amr al-Dabbagh (Pengerusi syarikat pembinaan Red Sea International) turut ditahan.

Bekas ejen FBI, Ali H Soufan, melalui Twitter mendakwa Putera Abdul Aziz iaitu anak Almarhum Raja Fahd, terbunuh Ahad lalu.

Menurut laporan The Duran, putera itu terbabit secara langsung dalam Saudi Oger Ltd, syarikat pernah dimiliki keluarga Saad Hariri yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Lubnan, hujung minggu lalu.

Syarikat itu memberhentikan perniagaan musim panas lalu, mencetuskan spekulasi pihak di Arab Saudi mendesak Hariri meletak jawatan.


Dua tokoh terkemuka Arab Saudi, bilionair Putera Al-Waleed (kiri) dan bekas Menteri Pengawal Kebangsaan Putera Miteb yang ditahan dalam operasi anti- rasuah arahan Putera Mahkota Mohammed bin Salman (tengah). - Foto EPA/REUTERS/AFP

Awal minggu ini, Putera Mansour bin Muqrin iaitu timbalan gabenor wilayah Asir, terbunuh dalam nahas helikopter bersama tujuh lagi di Abha.

Putera Mansour ialah anak Putera Muqrin bin Abdulaziz, bekas pengarah perisikan dan pernah menjadi putera mahkota Arab Saudi.

Putera Muqrin disingkirkan sebagai putera mahkota pada April 2015 oleh abang tirinya, Raja Salman dan diganti dengan seorang lagi adik tirinya, Putera Mohammed bin Nayef yang menjadi menteri dalam negeri.

Namun, Jun lalu, Raja Salman juga menyingkirkan Putera Mohammed dan melantik anaknya, Putera Mohammed bin Salman, 32, sebagai putera mahkota.

Sehingga hari ini, operasi anti-rasuah pihak berkuasa Arab Saudi sudah menahan 11 kerabat diraja, termasuk kerabat yang keturunannya dekat dengan Raja Salman, 38 bekas menteri serta ahli perniagaan.

Reuters melaporkan, bank Arab Saudi membekukan lebih 1,2000 akaun milik individu dan syarikat dan jumlah itu akan meningkat.


Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud bersama Menteri Pengawal Kebangsaan yang baru, Khaled bin Ayyaf dan Menteri Ekonomi Mohammed al-Tuwaijri selepas majlis angkat sumpah mereka di Riyadh, semalam.

Sejak Isnin, jumlah akaun yang dibekukan bank pusat Arab Saudi bertambah hampir setiap jam yang boleh menjejaskan syarikat terbabit untuk urusan seharian, termasuk membayar gaji dan pinjaman.

Bloomberg melaporkan, jumlah harta dan aset persendirian milik mereka ditahan yang sudah dibekukan bank pusat Arab Saudi mencecah $25 bilion.

Antara yang ditahan termasuk bilionair Putera Al-Waleed bin Talal (anak saudara Raja Salman), pengerusi firma pelaburan Kingdom Holding yang asetnya dianggar berjumlah AS$18 bilion yang memiliki ekuiti dalam Twitter, Lyft dan Citigroup.

Selain itu, Nasser bin Aqeel al-Tayyar (Presiden Al Tayyar Travel Group) dan Putera Miteb bin Abdullah (bekas Menteri Pengawal Kebangsaan) serta Amr al-Dabbagh (Pengerusi syarikat pembinaan Red Sea International) turut ditahan.

Tuduhan terhadap mereka ditahan, termasuk penggubahan wang haram, rasuah, pemerasan dan mengambil kesempatan jawatan bagi kepentingan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 7:11 PM