ANGGOTA polis berkawal di sebatang jalan di kampung Garahmat, Dera Ismail Khan di Pakistan. - AFP
Daily Mail

Islamabad: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dibogel sebelum diarak di seluruh kampung sebagai hukuman oleh keluarga kakak iparnya selepas abangnya menjalin hubungan sulit dengan wanita lain.

Remaja terbabit diculik sekumpulan lelaki pada 27 Oktober sebelum dibogelkan dan dipaksa berlari di kampung Garahmat, Dera Ismail Khan.

Abang remaja itu didakwa menjalin hubungan sulit dengan wanita lain dan keluarga isterinya mengadu perkara itu kepada majlis kampung.

Majlis kampung kemudian memutuskan keluarga isteri yang dimalukan boleh membalas perbuatan itu melalui adik perempuan lelaki berkenaan.

Remaja berkenaan bersama tiga sepupunya berjalan ke tasik berhampiran untuk mengambil air sebelum dia diculik.

Keluarga remaja terbabit pada mulanya turut mendakwa mangsa dibawa ke sebuah rumah, dipukul serta dibogelkan oleh sembilan individu.

Bagaimanapun, mereka menarik semula kenyataan itu pada Isnin lalu.

Susulan laporan berkenaan, polis menahan lapan lelaki dan memburu seorang lagi suspek yang melarikan diri.

Isu kehormatan keluarga adalah isu sensitif di Pakistan yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Menurut laporan, hampir 1,000 wanita dibunuh saudara sendiri pada setiap tahun akibat melanggar norma masyarakat konservatif mengenai cinta dan perkahwinan.

Tindakan Majlis kampung menyelesaikan pertelingkahan keluarga berkenaan tanpa mengikut undang-undang mendorong kepada penindasan terhadap wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 6:05 AM