SEORANG penduduk memeriksa baju celoreng dipercayai ditinggalkan militan Daish di daerah Malutlut di Marawi. - Reuters

Manila: Askar Filipina semalam membunuh seorang militan Daish di Marawi, lapan hari selepas kerajaan mengumumkan pertempuran di bandar itu tamat, kata pegawai.

Tentera masih memburu saki-baki militan yang bersembunyi selepas operasi selama lima bulan terhadap kumpulan itu yang menawan Marawi pada Mei lalu.

Konflik itu memaksa kira-kira 350,000 penduduk melarikan diri dan menyebabkan lebih 1,100 orang terkorban, kebanyakannya militan.

Militan dari Malaysia, Indonesia dan Asia Barat antara datang ke Marawi untuk membentuk kerajaan khalifah di Asia Tenggara.

Jurucakap tentera, Kolonel Romeo Brawner berkata, askar berbalas tembakan dengan seorang lelaki bersenjata yang cuba melarikan diri dari kawasan pertempuran utama.

“Kami masih menempatkan askar di beberapa kawasan kerana terdapat kemungkinan saki-baki militan militan masih berada di bandar ini.

“Kami perlu membuat pemeriksaan kerana terdapat banyak tempat persembunyian di kawasan pertempuran utama,” katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 4:52 AM