HARRY Roque
AFP

Manila: Seorang bekas peguam hak asasi manusia dilantik sebagai jurucakap baru Presiden Filipina, Rodrigo Duterte bagi menggantikan bekas paderi yang sering mempertahankan kempen memerangi dadah pemimpin itu.

Duterte memberitahu, dia melantik ahli kongres yang juga bekas profesor undang-undang, Harry Roque sebagai jurucakapnya yang baru.

Roque mengambil alih tugas Ernesto Abella yang sering melembutkan ucapan keras Duterte dengan memberitahu kenyataan itu hanya retorik.

Duterte tidak memberitahu alasan dia menggantikan Abella tetapi berkata, Roque adalah individu yang tepat untuk jawatan itu.

“Untuk menyampaikan mesej dengan jelas saya memberitahu Roque kamu sesuai dengan jawatan itu kerana kami berdua mempunyai mulut yang nakal,” katanya.

Duterte sebelum ini sering mengeluarkan kenyataan keras dan kurang ajar termasuk menggelar Pope Francis sebagai anak pelacur.

Dia juga pernah mengaku membunuh penjenayah tetapi Abella memberitahu kenyataan Duterte itu hanya satu gurauan.

Duterte ketika ini dikritik selepas kempen memerangi dadah yang dilancarkan meragut ribuan nyawa suspek termasuk remaja bawah umur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 8:50 AM