ABE melambai kepada penyokongnya selepas kempen terakhir di Stesen Akihabara JR di Tokyo kelmarin. - EPA
AFP

Tokyo: Parti gabungan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dijangka menang besar dalam pilihan raya umum semalam sekali gus memberi mandat kepadanya untuk berdepan Korea Utara dan memulihkan ekonomi nombor tiga dunia itu.

Parti Liberal Demokratik (LDP) pimpinan Abe dijangka memenangi 311 kerusi daripada 465 kerusi parlimen menurut unjuran yang disiarkan stesen penyiaran TBS.

Kemenangan itu menjadikan Abe sebagai pemimpin Jepun paling lama berkhidmat.

Kejayaan itu memberi mandat kepada Abe bagi berdepan cita-cita nuklear Korea Utara selepas Pyongyang melancarkan dua peluru berpandu melintasi Jepun dalam tempoh sebulan.


SEORANG wanita memasukkan kertas undi di dalam kotak undi di sebuah pusat pengundian di Tokyo semalam. - AFP

“Abe menuju kemenangan besar,” lapor akhbar Yomiuri dalam laman sesawangnya.

Jutaan pengundi terpaksa berdepan hujan lebat dan angin kuat untuk membuang undi selepas Taufan Lan melanda negara itu.

“Saya menyokong pendirian Abe untuk tidak tunduk dengan tekanan Korea Utara,” kata seorang pengundi, Yoshihisa Iemori ketika membuang undi dalam hujan lebat di Tokyo.

Kemenangan LDP banyak disumbangkan oleh perpecahan dan kelemahan parti pembangkang dengan dua parti perikatan utama baru ditubuhkan dalam tempoh seminggu sebelum pilihan raya.

Sokongan terhadap Parti Harapan yang diasaskan Gabenor Tokyo yang popular, Yuriko Koike jatuh mendadak dan gabungan itu diunjurkan memenangi hanya 50 kerusi.


PEGAWAI pilihan raya mengira kertas undi di pejabat pilihan raya di Tokyo semalam. - AFP

Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada parti pimpinan Abe itu berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga atau tidak.

Majoriti itu diperlukan bagi membolehkan Abe mencadangkan perubahan dalam perlembagaan Jepun yang memaksa negara itu meminggirkan peperangan dan mengehadkan peranan tenteranya kepada mempertahankan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 9:26 AM