SEORANG kanak-kanak memakan roti di satu kawasan perlindungan selepas melarikan diri daripada pertempuran di Raqqa, Syria kelmarin. - AFP
Reuters

Beirut: Kubu kuat Daish di Syria yang dianggap sebagai ibu kota pemerintahan khalifah kumpulan itu, Raqqa dijangka ditawan tentera pakatan pada bila-bila masa.

Kumpulan pejuang Kurdis YPG memberitahu, bandar itu mungkin bebas daripada militan Daish pada lewat semalam atau hari ini.

Tentera pakatan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) memberitahu seramai 11 militan menyerah diri di Raqqa dalam tempoh 24 jam terakhir.

Pemerhati Syria untuk Hak Asasi Manusia berkata, bagi militan dibawa keluar dari Raqqa menggunakan bas menerusi perjanjian antara Daish dan tentera pakatan serta pejuang Tentera Demokratik Syria (SDF) yang dikuasai YPG.

Tentera SDF yang dibantu serangan udara tentera pakatan melancarkan serangan untuk membebaskan Raqqa sejak Jun lalu.

Kejatuhan Raqqa dianggap satu tamparan hebat kepada kumpulan Daish selepas satu lagi kubu kuat mereka Mosul ditawan tentera pakatan pada awal tahun ini.

“Pertempuran masih berlaku di Raqqa. Daish kini di ambang kemusnahan. Hari ini atau esok, bandar ini akan dibebaskan,” kata jurucakap YPG, Nouri Mahmoud.

Seorang jurucakap tentera pakatan, Ryan Dillon berkata, hampir 85 peratus Raqqa sudah ditawan tetapi dia enggan memberi tempoh masa bila bandar itu dapat dibebaskan sepenuhnya.

“Kami menjangkakan pertempuran sengit akan berlangsung selama beberapa hari lagi,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 5:46 AM