ORANG ramai meletakkan bunga dibina untuk memperingati mangsa di Mexico City. - AFP
ANGGOTA penyelamat mencari mangsa di celah runtuhan rumah. - Reuters

Mexico City: Gempa susulan 6.2 magnitud menggemparkan penduduk yang masih trauma dengan bencana besar Selasa lalu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 307 orang.

Lima orang dipercayai maut berkaitan gempa susulan berkenaan, yang turut disusuli dua letupan kecil daripada gunung berapi Popocatepetl yang memuntahkan abu.

Walaupun gegarannya tidak sekuat kejadian sebelum ini, ia mencetuskan panik penduduk menyebabkan dua wanita maut akibat serangan jantung.

Tiga lagi maut di Oaxaca termasuk seorang lelaki yang mati akibat disengat lebah.

Pihak berkuasa seismologi Mexico berkata, gempa susulan itu berkait dengan bencana pada 7 September lalu dengan magnitud 8.1 yang membunuh 98 orang di Oaxaca.

Gegaran susulan itu bagaimanapun menyukarkan usaha mencari mangsa kerana bimbang membahayakan penyelamat.

Dua gempa besar di Mexico itu berlaku dalam tempoh kurang dua minggu dan meragut lebih 400 nyawa serta mengakibatkan kerosakan dianggarkan mencecah AS$8 bilion (RM33 bilion).

Gegaran terbaru dengan magnitud 7.1 pada Selasa lalu berlaku ketika ambang ulang tahun bencana seumpamanya pada 1985, hanya dua jam selepas latihan kecemasan tahunan sempena kejadian berkenana.

Seramai 69 orang diselamatkan sejak Selasa, namun tiada mangsa terselamat, sebaliknya semakin banyak mayat ditemui sejak Jumaat dan anggota penyelamat yang turut dibantu petugas negara lain serta orang awam semakin hilang harapan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 12:50 PM