KEADAAN lori pikap yang terputus dua akibat terkena serangan bom. - Reuters
KAWAH yang terbentuk di jalan raya selepas serangan bom di daerah Sai Buri, Pattani, Thailand yang mengorbankan empat askar semalam. - Reuters
AFP

Pattani: Empat askar Thailand terbunuh selepas sebutir bom yang dipasang di tepi jalan meletup dan memusnahkan kenderaan dinaiki mereka di sini semalam, kata tentera.

“Serangan di wilayah Pattani itu turut mencederakan enam mangsa termasuk seorang penduduk,” kata jurucakap tentera, Yuthanam Petchmoang.

Menurutnya, serangan berlaku ketika askar itu menjalankan rondaan rutin pada awal pagi untuk mengawal jalan yang dilalui guru sekolah di daerah Sai Buri.

Letupan kuat menyebabkan lori pikap yang dinaiki sembilan askar berkenaan terputus dua dan membentuk kawah besar di lokasi kejadian.

Pemerintah Operasi Keselamatan Dalaman (ISOC) dalam satu kenyataan memberitahu, bom dipasang dalam saliran air di bawah jalan dan diletupkan ketika empat askar turun dari lori pikap untuk memeriksa kawasan berkenaan.

“Serangan itu bertujuan untuk mencetuskan kekacauan dan keganasan di rantau ini tanpa mengira keselamatan dan nyawa penduduk,” jelasnya.

Serangan itu berlaku ketika Thailand meneruskan rundingan damai dengan kumpulan yang mendakwa mewakili pejuang pemisah.

Setakat ini rundingan itu tidak mencapai sebarang perjanjian dengan penganalisis berpendapat, wakil pemisah tiada kawalan ke atas pejuang.

Barisan Revolusi Nasional (BRN) dipercayai menjadi dalang di sebalik kebanyakan serangan, walaupun kumpulan itu tidak pernah mengakuinya.

Keganasan di wilayah selatan Thailand yang bersempadan dengan Malaysia itu mula bergolak lebih 10 tahun lalu selepas kumpulan pemisah menuntut kemerdekaan.

Lebih 6,800 mangsa dengan majoritinya orang awam terbunuh dalam konflik itu yang menyaksikan serangan bom dan kejadian tembakan berlaku hampir setiap minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2017 @ 12:29 AM