SEORANG askar berkawal di depan bangunan yang rosak teruk di Marawi. - Reuters
KEPULAN asap dilihat dari Marawi ketika tentera melancarkan serangan terhadap kumpulan militan di bandar itu kelmarin. - Reuters
AFP

Manila: Tentera Filipina semalam meminta kerajaan menyalurkan dana tambahan bagi membiayai kempen membebaskan bandar Marawi yang ditawan kumpulan pemberontak dan militan Daish.

Perang yang meletus lebih tiga bulan lalu itu menelan belanja 3 bilion peso (RM247 juta) dan memusnahkan bandar di selatan Filipina itu.

Krisis itu memberi ancaman serius kepada kerajaan Presiden Rodrigo Duterte yang menghantar ribuan askar dan menguatkuasakan perintah darurat di sebahagian wilayah selatan negara itu.

Sembilan hari lalu, Duterte mengumumkan bahawa pertempuran di Marawi kini di fasa terakhir.

Bagaimanapun, kerajaan semalam memberitahu, jabatan pertahanan meminta Kongres bajet tambahan untuk menampung perang di Marawi itu.

“Wang mengalir setiap hari sepanjang pertempuran berlangsung dan ini akan membebankan kerajaan.

“Sebab itu kerajaan melihat perlu menyediakan dana tambahan kepada pasukan bersenjata bagi mendapatkan keperluan untuk menamatkan peperangan ini,” kata jurucakap tentera, Restituto Padilla.

Menurutnya, tentera membelanjakan 3 bilion peso setakat ini dan memerlukan lebih 1 bilion peso (RM83 juta) lagi untuk menambah bekalan peluru, minyak dan peralatan lain untuk peperangan itu.

Pertempuran di Marawi tercetus pada hujung Mei lalu apabila beratus-ratus pemberontak Maute yang dibantu militan Daish menyerbu bandar berkenaan.

Selepas bertempur hampir setiap hari, kumpulan militan kini berlindung di beberapa kawasan kecil di tengah Marawi.

Pertempuran itu menyebabkan seramai 651 militan dibunuh manakala 145 askar dan polis serta 45 orang awam terkorban.

Ribuan penduduk Marawi terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing dan tinggal di pusat pemindahan sementara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2017 @ 3:31 AM