SEEKOR ular tedung ditemui dalam kotak yang cuba dipos penyeludup ke Hong Kong. - Agensi
Agensi

Jakarta: Pihak berkuasa menggagalkan cubaan menyeludup berpuluh anak kala jengking dan tujuh ular tedung ke Hong Kong melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Banten, Jawa Tengah.

Ketua Agensi Kuarantin Pertanian lapangan terbang itu, Eliza Suryati berkata, haiwan itu dirampas dari satu kotak yang mengandungi mi segera.

“Seorang pegawai di Pejabat Pertukaran Pos Udara pada Rabu lalu mengesan beberapa lubang mencurigakan pada kotak itu.

“Apabila kotak itu dibuka pegawai itu menemui tujuh ular tedung dan puluhan anak kala jengking di dalam 20 paip plastik,” katanya.

Menurutnya pemeriksaan pada alamat penghantar bungkusan berkenaan juga mendapati ia palsu.

Menurutnya, haiwan itu bakal diserahkan kepada agensi hidupan liar dan alam sekitar untuk dilepaskan ke habitat asalnya.

Sebelum ini pihak berkuasa berjaya mematahkan beberapa cubaan untuk menyeludup haiwan liar dilindungi ke luar negara melalui lapangan terbang.

Binatang liar seperti ular dan burung antara haiwan yang sering diseludup kerana mendapat permintaan tinggi di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2017 @ 3:25 AM