Divisyen kereta kebal tentera Syria memasuki perkampungan Kobajjep di pinggir bandar Deir Ezzor selepas berjaya menawan kembali bandar berkenaan, Selasa lalu. - Foto AFP.
AFP

RUSSIA hari ini mendakwa berjaya membunuh beberapa pemerintah tertinggi militan Negara Islam (IS) dalam serangan udara di Syria, termasuk lelaki digelar Emir bandar Deir Ezzor serta ‘menteri perang IS’.

“Mereka terbunuh hasil pengeboman tepat tentera udara Syria di bandar Deir Ezzor iaitu pos pemerintahan dan pusat perhubungan bersama kira-kira 40 militan IS,” kata kenyataan Kementerian Pertahanan Russia melalui Facebook.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan maklumat yang disahkan, antara militan yang terbunuh ialah empat pemerintah tertinggi IS, termasuk ‘gabenor’ bandar Deir Ezzor, Abu Mohammed al-Shimali.

Juga terbuniuh, Gulmurod Khalimov iaitu menteri perang IS yang berasal dari Tajikistan.

Khalimov ialah ketua pasukan khas Tajikistan sebelum menyertai IS pada 2015.

Hasil sokongan Russia, tentera Syria berjaya memasuki bandar Deir Ezzor Selasa lalu, yang dikuasai IS sejak beberapa tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 8:28 PM