Kapal Phoenix milik MOAS. - Foto Fail
Thomson Reuters Foundation

KAPAL agensi bantuan bukan kerajaan yang membantu pendatang di Mediterranean kini belayar ke Teluk Benggla untuk membantu pelarian Rohingya.

Regina Catrambone, pengasas bersama Migrant Offshore Aid Station (MOAS), berkata kapal utama pertubuhan itu, Phoenix, menggantung operasinya di perairan utara Afrika mulai minggu ini, berikutan ketegangan dengan kerajaan Itali dan Libya.

“Ada misi lain (seperti di Mediterranean) muncul di sebelah sana dunia,” katanya kepada Yayasan Thomson Reuters Foundation melalui telefon.

“Kami mahu membantu meringankan penderitaan mereka,” katanya.

PBB menganggarkan antara 150,000 hingga 300,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, menyelamatkan diri daripada dibunuh tentera Myanmar dan penduduk Buddha selepas kejadian kumpulan yang dikatakan pemberontak Rohingya menyerang pos tentera dan polis di Rakhine, Myanmar, 25 Ogos lalu.

Agensi bantuan, termasuk PBB tidak mampu menangani jumlah pelarian yang ramai itu, dianggarkan lebih 400,000 berada di Bangladesh.

Kapal Phoenix itu akan tiba di Teluk Benggala dalam masa dua minggu untuk menghantar bantuan, termasuk perubatan tetapi tidak akan menyelamatkan pelarian di laut seperti dilakukannya di Mediterranean.

Menurut Regina, MOAS yang berpangkalan di Malta, sudah menyelamatkan atau membantu 40,000 pelarian di Mediterranean sejak 2014, selain pernah membantu pelarian Rohingya di Teluk Benggala pada 2016.

Isnin lalu, MOAS menjadi pertubuhan keempat menghentikan operasi menyelamat di Mediterranean kerana tidak mahu pelarian diselamatkannya yang dihantar ke Libya, dikurung dalam gudang yang sesak dengan sedikit makanan.

“Kami tidak boleh menjadi sebahagian daripada mekanisme tidak berperikemanusiaan.

“Sebagai pertubuhan kemanusiaan, kami bekerja untuk memastikan orang (yang kami selamatkan) pergi ke pelabuhan yang selamat. Kami tidak boleh menipu mereka,” kata Regina.

Itali yang mahu mengawal kedatangan pendatang menjelang pilihan raya Mei tahun depan, menyokong usaha pengawal pantai Libya menghalang pendatang serta memperketat peraturan penyelamatan badan bukan kerajaan di laut.

Bulan lalu, kapal Pengawal Pantai Libya memintas kapal bantuan dan mengarahkannya ke Tripoli jika tidak mahu ditembak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 6:56 PM