Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi. (Foto EPA)
AFP

SELEPAS sekian lama berdiam diri mengenai dakwaan layanan buruk serta kekejaman Myanmar terhadap etnik Rohingya, akhirnya pemimpin negara itu Aung San Suu Kyi bersuara namun menegaskan laporan buruk itu dimarakkan oleh ‘maklumat yang amat tidak tepat.’

Kerajaan Suu Kyi menghadapi tekanan antarabangsa termasuk oleh PBB berikutan tindakan kejam tenteranya yang didakwa membunuh penduduk Rohingya, merogol dan membakar perkampungan mereka.

Dalam komen pertama pemenang Anugerah Keamanan Nobel itu sejak krisis bermula 25 Ogos lalu, beliau berkata simpati dunia terhadap Rohingya dicetuskan oleh ‘bongkah ais yang besar’ maklumat tidak tepat bertujuan mewujudkan masalah dalam kalangan rakyat Myanmar serta mempromosikan kepentingan pengganas.

Komen melalui kenyataan dikeluarkan pejabatnya selepas Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mengkritik tindakan Myanmar terhadap Rohingya sekarang sebagai operasi pembunuhan beramai-ramai.

Suu Kyi yang mempertahankan tindakan kerajaannya menyatakan operasi itu bagi ‘mempertahankan semua rakyat’ di negeri Rakhine.

Kenyataannya Suu Kyi itu juga merujuk kepada tweet oleh Timbalan Perdana Menteri Turki Mehmet Simsek (kini sudah dipadamkan) yang menunjukkan sejumlah gambar yang didakwanya mayat etnik Rohingya.

Kira-kira 150,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak keganasan tercetus berikutan serangan kumpulan bersenjata terhadap pos tentera dan polis Myanmar yang didakwa kerajaan dilakukan pemberontak Rohingya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 7:42 PM