Seorang wanita Rohingya meriba anaknya di bawah khemah tidak sempurna sebaik tiba di Teknaf, Bangladesh.
Reuters

MYANMAR dikesan memasang periuk api sepanjang sempadannya dengan Bangladesh, terutama yang menjadi laluan pelarian Rohingya dipercayai bagi menghalang pelarian terbabit pulang ke perkampungan mereka.

Sumber-sumber kerajaan di Dhaka menyatakan Bangladesh akan memfailkan bantahan rasmi terhadap tindakan Myanmar memasang periuk api terlalu hampir dengan sempadannya.

Menurut Reuters sumber terbabit mempunyai akses terus kepada maklumat mengenai keadaan itu.

“Mereka memasang periuk api bersama pagar kawat duri,” kata satu sumber.

Kedua-dua sumber itu menyatakan Bangladesh tahu mengenai pemasangan periuk api itu berdasarkan bukti bergambar dan pemberi maklumat.


Pelarian Rohingya, termasuk kanak-kanak berjalan merentasi hutan, sungai dan sawah untuk menyeberang ke Bangladesh, melarikan diri dari perkampungan mereka di Rakhine yang sedang dimusnahkan tentera Myanmar. - Foto REUTERS (Danish Siddiqui)

“Tentera kami (Bangladesh) juga nampak tiga, empat kumpulan memasang sesuatu dalam tanah.

“Kami kemudian mengesahkannya dengan pemberi maklumat bahawa mereka memasang periuk api,” kata satu lagi sumber.

Semalam, Ketua Pengawal Sempadan Bangladesh, Manzurul Hassan Khan, berkata dua letupan berlaku di sebelah Myanmar menyebabkan dua kanak-kanak, seorang putus kaki dan seorang wanita cedera dipercayai akibat terpijak periuk api.

Rakaman video oleh seorang pelarian Rohingya yang pergi ke tempat letupan itu menunjukkan sesuatu yang kelihatan seperti periuk api, logam bulat bergaris pusat 10 sentimeter tertanam dalam lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 5:24 PM