Kepulan asap di belakang deretan pelarian dipercayai perkampungan Rohingya yang terbakar di Rakhine, Myanmar.
AFP

JUMLAH pelarian Rohingya yang memasuki Bangladesh sejak 11 hari lalu, kini mencecah hampir 125,000 orang menyebabkan agensi bantuan kekurangan kemudahan memaksa pelarian tidur tanpa bumbung atau dalam khemah buatan sendiri.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Besatu (PBB), kebanjiran 123,600 pelarian yang menyeberang ke Bangladesh dari Rakhine, Myanmar, itu boleh menyebabkan bencana kemanusiaan kerana kem pelarian di Cox's Bazar sudah sesak dengan hampir 400,000 pelarian sebelum ini.


Wanita tua diusung dalam buaian ketika etnik Rohingya melarikan diri daripada kekejaman tentera Myanmar yang mengganas di perkampungan mereka di Rakhine.

Sebahagian pelarian tiba dengan luka akibat tembakan, tetakan dan melecur selain keletihan dan kelaparan selepas beberapa hari berjalan merentas hutan, sawah serta menyeberang sungai.

“Mereka yang tiba kini tinggal di mana saja yang boleh, dalam kem pelarian yang sesak, di atas jalan, halaman sekolah atau di kawasan lapang tanpa bumbung.

“Hutan sedang dibersihkan untuk membina penempatan pelarian tambahan. Agensi bantuan kekurangan air dan makanan,” kata aktivis kemanusiaan Bangladesh, Nur Khan Liton.

Pengawal sempadan Bangladesh menyatakan pelarian juga terdedah kepada bahaya periuk api yang dipasang tentera Myanmar di sempadan.

Hari ini, dua kanak-kanak Rohingya cedera dengan seorang putus kaki dipercayai akibat letupan periuk api.

Pemerintah pengawal sempadan Bangladesh, Manzurul Hasan Khan, berkata dua kanak-kanak itu terpijak satu bahan letupan pagi ini.

Semalam, seorang wanita Rohingya juga putus kaki akibat letupan periuk api di kawasan yang sama .

Menurut Manzurul, ramai pelarian yang tiba mempunyai kecederaan tembakan namun tidak dapat dipastikan puncanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2017 @ 7:19 PM