Ayoub Shamasneh, 84, (kiri) bersama keluarganya diusir dari rumah mereka di timur Baitulmaqdis oleh polis Israel hari ini. Gambar kanan, isteri Ayoub, Fahamiya. - Foto AFP
AFP

SATU pasangan warga emas dan keluarga mereka dihalau polis Israel dan rumah mereka di timur Baitulmaqdis yang dihuni sejak 53 tahun lalu, dirampas untuk diberi kepada penduduk Yahudi, hari ini.

Fahamiya Shamasneh, 75, berkata polis tiba-tiba datang pagi ini, dan memaksa dia, suami, Ayoub, 84, serta keluarga anak lelakinya keluar dari rumah mereka di Sheikh Jarrah itu.

Wartawan AFP kemudian melihat seorang lelaki muda Yahudi memasuki rumah berkenaan selepas penghuninya diiring keluar oleh polis.

“Hari paling malang dalam hidup kami,” kata Fahamiya dengan linangan air mata.

Menurutnya, dia sedang memanaskan susu untuk cucunya apabila polis datang dan mengarahkan mereka keluar dari rumah.

“Adakah lagi ketidakadilan yang lebih besar daripada ini? Mungkin kami akan tidur di jalanan,” katanya.

Rancangan pengusiran oleh Israel itu dikritik Kesatuan Eropah, PBB dan beberapa negara barat namun tidak oleh Amerika Syarikat.

Agensi PBB untuk pelarian Palestin, UNRWA, menyatakan ia akan menjadi kebajikan keluarga terbabit, termasuk mendapatkan rumah baru untuk mereka.


Penduduk Yahudi menjadi penghuni baru rumah keluarga Ayoub Shamasneh. - Foto AFP

Keluarga Ayoub sudah bertahun-tahun memperjuangkan kes mereka di mahkamah, menafikan dakwaan penduduk Yahudi bahawa rumah berkenaan adalah miliknya sebelum melarikan diri apabila timur Baitulmaqdis diduduki tentera Jordan ketika perang pada 1948 yang membawa kepada pembentukan negara Yahudi.

Undang-undang Israel membenarkan seseorang Yahudi menuntut harta mereka yang dimiliki di timur Baitulmaqdis sebelum perang 1948 itu jika dapat membuktikan mereka pernah tinggal di sana.

Ketika perang itu, ribuan Yahudi melarikan diri dari Baitulmaqdis manakala ratusan ribu penduduk Palestin meninggalkan kawasan yang kini menjadi negara Israel. Namun, tiada undang-undang membolehkan penduduk Palestin menuntut kembali harta mereka.

Keluarga Ayoub membayar 250 shekel (AS$70) sebulan kepada pemegang amanah sejak 1967 yang dijadikan hujah oleh penduduk Yahudi terbabit sebagai bukti keluarga berkenaan mengakui status mereka sebagai penyewa sedangkan pemegang amanah yang dibentuk kerajaan Israel untuk ‘mentadbir’ Baitulmaqdis tidak diperakui sebarang pihak.

Keputusan Mahkamah Agung Israel pada 2013 memihak kepada penduduk Yahudi itu.

Israel mahu menjadikan seluruh Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya manakala pihak berkuasa Palestin mahukan bahagian timur sebagai bakal ibu negara.

Israel menduduki timur Baitulmaqdis selepas Perang Enam Hari pada 1967 dan kini, kira-kira 200,000 penduduk Yahudi tinggal di wilayah itu yang tidak sah mengikut undang-undang antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2017 @ 6:32 PM