SEKUMPULAN aktivis mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah kekejaman terhadap etnik Rohingya di Jakarta semalam. - Reuters

Jakarta: Satu bom petrol dibaling ke bangunan kedutaan Myanmar di Jakarta pada awal pagi semalam menyebabkan kebakaran kecil, kata polis.

Serangan itu berlaku ketika kemarahan semakin memuncak umat Islam di Indonesia berhubung keganasan terhadap etnik Rohingya di Myanmar.

Jurucakap polis, Argo Yuwono memberitahu, seorang anggota polis yang meronda belakang bangunan itu pada jam 2.35 pagi (waktu tempatan) melihat kebakaran kecil di tingkat dua kedutaan.

“Selepas kebakaran itu dipadamkan kami menemui serpihan botol kaca.

“Suspek yang tidak dikenali dipercayai melarikan diri dari lokasi kejadian menaiki sebuah kereta,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, polis masih menyiasat kejadian itu dan motif serangan belum diketahui.

Sekumpulan aktivis kelmarin membuat tunjuk perasaan di hadapan kedutaan itu mendesak Jawatankuasa Hadiah Nobel menarik balik Hadiah Nobel Keamanan pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi.

Bantahan diteruskan semalam di Jakarta dengan beberapa kumpulan Islam mendesak kerajaan secara aktif bagi menyelesaikan isu Rohingya yang ditindas. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 10:02 AM