KELUARGA askar Lubnan yang hilang menunjukkan poster kecil dengan gambar mereka ketika menanti berita daripada tentera. - AFP
AFP

Beirut: Tentera Lubnan semalam mengumumkan gencatan dalam serangannya terhadap militan Daish di sempadan Syria sebagai pertukaran mendapat maklumat mengenai askarnya yang dijadikan tebusan pada 2014.

Tentera negara itu melancarkan kempen terhadap Daish di kawasan pergunungan Jurud Ras Baalbek dan Jurud al-Qaa, di sempadan timur negara itu pada 19 Ogos lalu.

Susulan itu, dalam satu kenyataan tentera berkata: “Pihak kami mengumumkan gencatan bermula jam 7 pagi (waktu tempatan) untuk membolehkan rundingan fasa akhir berhubung nasib tentera kami yang diculik.”

Sembilan askar dipercayai masih dijadikan tebusan Daish selepas kumpulan militan itu menyerbu bandar Arsal di sempadan dua negara berkenaan pada Ogos 2014. Seramai 30 askar dan polis diculik dalam kejadian itu.

Menurut tentera, anggotanya yang hilang itu menjadi pertimbangan penting dalam melancarkan serangannya terhadap 600 anggota Daish yang menggunakan kawasan berbukit itu sebagai pangkalan mereka.

Daish mengakui melancarkan beberapa serangan di Lubnan sejak beberapa tahun lalu termasuk serangan bom berkembar di kawasan berpenduduk tinggi di Beirut yang membunuh 44 orang.

Menurut sumber tentera, pihak atasan bersetuju dengan permintaan Daish untuk gencatan senjata bagi mendapat maklumat lanjut mengenai askar yang hilang itu.

“Buat masa ini pertempuran dihentikan. Jika mendapati motif terselindung atau tidak berpuas hati dengan rundingan, tentera akan meneruskan kembali serangan,” kata sumber itu.

Hizbullah yang melancarkan serangan serentak terhadap Daish dari sebelah Syria turut mengumumkan gencatan, semalam.

Sumber turut berkata, Hizbullah berusaha mencari mayat askar yang hilang itu di Qalamun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 9:36 AM