POLIS Australia menyiasat salah satu kediaman yang diserbu di Sydney.
Reuters

Sydney: Polis di Australia, Dubai dan Belanda menahan 17 orang dan merampas hampir dua tan dadah dianggarkan bernilai A$810 juta (RM2.7 bilion) dalam serbuan serentak yang mematahkan dua sindiket jenayah berpangkalan di Asia Barat.

Dalam operasi itu, sembilan lelaki dan seorang wanita ditangkap di Sydney, semalam, manakala lima lelaki ditahan di Emiriah Arab Bersatu oleh polis Dubai, kata polis Australia.

Pada masa sama, pihak berkuasa Belanda dilaporkan menahan dua lelaki didakwa bertanggungjawab menguruskan bekalan dadah ke sebuah sindiket yang berpangkalan di Australia.

Penolong Komisioner Polis Persekutuan Australia (AFP) Neil Gaughan berkata: “Suspek yang disyaki menganggotai sindiket ini adalah anggota jenayah terancang Asia Barat yang sudah lama diperhatikan pihak berkuasa.

“Sejak berdekad lalu kumpulan itu menayangkan kekayaan dan aktiviti mereka, malah memberitahu masyarakat sekeliling bahawa mereka tidak boleh ‘disentuh.’

“Hari ni, jelas terbukti itu tidak benar.”

Polis menyerbu 32 rumah di Sydney dan mengeluarkan 52 waran tangkap semalam dalam apa dikatakan serangan terbesar terhadap jenayah terancang dalam sejarah Australia, kata jurucakap AFP.

Siasatan bermula pada pertengahan tahun lalu, menyasarkan kumpulan jenayah terancang yang mengimport dadah serta tembakau dalam kuantiti yang banyak, kata pihak berkuasa.

Satu kontena dadah dirampas di Belanda pada Julai lalu dipercayai untuk dihantar ke Australia menaiki kapal, kata jurucakap AFP itu.

Keseluruhannya, 1.8 tan Ecstasy, 136 kilogram kokain dan 15 kilogram methamphetamine dirampas pihak berkuasa di Belanda, kata polis Australia.

AFP menganggarkan nilai dadah itu mencapai sehingga A$810 juta (RM2.7 bilion) jika dijual di jalanan di Australia.

Wang tunai dan hartanah berjumlah kira-kira A$7 juta (RM24 juta) dirampas di Sydney dalam operasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 9:01 AM