SEEKOR monyet yang dilihat berkeliaran di pantai Bama di Situbondo, Jawa Timur semalam. - Reuters
Reuters

Jakarta: Pihak berkuasa Indonesia menghantar polis dan askar untuk membantu melindungi penduduk di Jawa Tengah daripada serangan monyet yang sudah menyebabkan sekurang-kurangnya 11 orang cedera.

Monyet berekor panjang dilaporkan semakin berani mencuri makanan dan berkeliaran serta berkonfrontasi dengan penduduk kampung di daerah Boyolali, utara Solo.

“Monyet mula datang ke sini dua bulan lalu. Selepas kami menembak seekor haiwan itu kumpulan monyet berkenaan tidak berani datang semula.

“Bagaimanapun, kini monyet itu datang semula dan ia semakin berani,” kata ketua polis Boyolali, Aries Andhi.

Katanya, satu pasukan khas ditubuhkan untuk meronda di kawasan itu dan menembak monyet berkenaan jika perlu dan perangkap juga digunakan untuk menangkap haiwan itu.

“Selagi monyet ini tidak mengganggu penduduk kampung, kami tidak akan menembak haiwan itu,” jelasnya.

Katanya, kebanyakan penduduk yang diserang monyet adalah warga emas yang tinggal berseorangan di pondok usang.

“Mereka tidak mempunyai jiran dan apabila serangan berlaku, sukar untuk mangsa mendapatkan bantuan,” katanya.

Menurutnya, antara 11 mangsa serangan monyet itu ialah seorang pelajar sekolah rendah yang terpaksa dirawat di hospital akibat cedera.

Sementara itu, aktivis perlindungan haiwan berkata, kemusnahan hutan yang menjadi habitat monyet menghimpit haiwan itu dalam konflik dengan manusia tetapi tindakan membunuh haiwan itu tidak boleh diterima.

“Punca monyet ini menceroboh rumah dan kebun kerana haiwan itu memerlukan makanan. Hutan yang menjadi habitat monyet kini musnah untuk pembangunan,” kata penyelaras Penyelamat Haiwan Antarabangsa Indonesia, Robithotul Huda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2017 @ 2:38 AM