GAMBAR menunjukkan kerosakan pada sayap pesawat Wing Air yang berlanggar dengan pesawat Lion Air di lapangan terbang di Medan semalam. - Agensi
AFP

Medan: Dua pesawat penumpang milik syarikat Lion Group rosak selepas berlanggar di lapangan terbang di sini semalam, kata pegawai.

Sebuah pesawat Boeing milik Lion Air bergerak di landasan selepas mendarat di lapangan terbang Kualanamu sebelum bergesel dengan pesawat Wing Air yang menunggu untuk berlepas.

Pelanggaran itu menyebabkan sayap kedua-dua pesawat milik syarikat Lion Group itu rosak tetapi tiada kecederaan dilaporkan.

Pihak berkuasa memberitahu, punca pelanggaran itu masih dalam siasatan.

Gambar yang tersebar di media sosial menunjukkan kerosakan pada sayap kiri pesawat Lion Air dan sayap kanan pesawat Wing Air.

“Semua penumpang berada dalam keadaan baik dan tiada yang cedera. Kedua-dua pesawat kini berada di tempat letak pesawat,” kata jurucakap Lion Air, Andy Saladin.

Industri penerbangan di Indonesia berkembang pesat sejak 10 tahun lalu tetapi terjejas dengan rekod keselamatan yang buruk dan peraturan penerbangan yang tidak teratur. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2017 @ 9:01 AM