POLIS memeriksa pesawat ringan itu selepas dua orang terbunuh di Pantai Sao Joao di Almada, Portugal, semalam. - EPA
AFP

Lisbon: Seorang budak perempuan berusia lapan tahun dan seorang lelaki dewasa maut selepas dirempuh sebuah pesawat kecil yang melakukan pendaratan cemas akibat kerosakan enjin di pantai yang dipenuhi orang ramai yang berjemur.

Dalam kejadian itu, pesawat berkenaan dilaporkan tidak mengeluarkan bunyi kuat sebelum mendarat selepas dilihat terbang rendah ketika ratusan orang berada di pantai Sao Joao da Caparica, kata saksi.

Pengunjung, Enrique Coelho berkata, ketika itu dia bermain pasir dengan anak lelakinya.

“Kejadian berlaku terlalu pantas. Kami semua tidak sempat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan diri,” katanya kepada rangkaian berita SIC Noticias.

Komander pelabuhan Lisbon, Jose Isabel berkata, mangsa dirempuh pesawat berkenaan. Ibu bapa kanak-kanak terbabit yang berada bersamanya ketika itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dua penumpang pesawat ringan itu yang juga tidak cedera ditahan polis.

Pesawat Cessna CS-AVA itu disewa sekolah latihan penerbangan Aviacao Aerocondor di Cascais, bandar tepi pantai berhampiran Lisbon, kata institusi itu dalam satu kenyataan.

“Pesawat itu menjalankan latihan penerbangan membabitkan seorang pelajar dan jurulatih berpengalaman,” katanya.

Dalam rakaman yang disiarkan stesen televisyen Portugal, jurulatih terbabit didengar memaklumkan menara kawalan bahawa pesawat itu mengalami kerosakan enjin dan akan melakukan pendaratan cemas.

Siaran berita turut menunjukkan rakaman di tempat kejadian dengan orang ramai mengepung pesawat itu dan memarahi dua penumpangnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2017 @ 8:58 AM