VIDEO yang viral menunjukkan kakitangan minum air dari jamban. - Agensi
Agensi

Beijing: Satu video tersebar di Internet menunjukkan hukuman menjijikkan sebuah syarikat di China untuk kakitangannya yang gagal mencapai sasaran jualan apabila dipaksa minum air dari lubang tandas.

Dalam rakaman memualkan itu yang mencetuskan rasa geli dalam kalangan pengguna Internet China, seorang kakitangan lelaki dilihat mencangkung di sebelah lubang tandas sebelum mencedok air dari dalamnya menggunakan gelas.

Dia kemudian memeriksa air berkenaan sebelum meletakkan gelas itu pada bibirnya dan meminumnya.

Pada masa sama seorang wanita yang turut memegang gelas berisi air dari lubang tandas berkenaan minum dalam keadaan teragak-agak dan menahan geli.

Beijing News melaporkan, mereka kakitangan sebuah studio fotografi di Guang’an, wilayah Sichuan, yang dihukum kerana prestasi kerja tidak memuaskan.

Seorang kakitangan wanita kemudian dirakam mengakui mengalami cirit-birit selepas menjalani hukuman berkenaan, malah terlalu mual sehingga hampir muntah ketika cuba makan nasi selepas kejadian itu.

Polis dilaporkan menahan orang yang merakamkan video berkenaan dan dia difahamkan direman selama empat hari.

Video itu dimuat naik ke laman sembang WeChat kakitangan syarikat sebelum tular.

Seorang pengurus syarikat menafikan video berkenaan dirakam di syarikatnya, sebaliknya sengaja dilakonkan dan disebarkan dalam kalangan pekerja sebagai motivasi supaya mereka bekerja lebih keras.

Polis dilaporkan menyiasat kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 8:58 AM