WILLIAM dan keluarganya akan berpindah ke Istana Kensington di London untuk memudahkan dia melakukan tugas rasmi. - Agensi

London: Putera William akan bersara daripada perkhidmatan ambulans udara hari ini selepas dua tahun terbabit dalam tugas itu bagi membolehkan dia memberi tumpuan terhadap tugas rasmi diraja.

William yang memegang gelaran Duke of Cambridge dan menduduki tangga kedua dalam senarai pewaris takhta Britain akan menamatkan kerjaya singkatnya sebagai juruterbang ambulans udara di timur England dengan syif terakhirnya malam tadi.

Ia susulan neneknya Ratu Elizabeth II dan datuknya, Duke of Edinburgh mengambil langkah mengurangkan tugasan diraja untuk membolehkan generasi muda mengambil alih.

Mengulas pengalamannya membawa krew perubatan dari pangkalan di Lapangan Terbang Cambridge ke pelbagai tempat kejadian, William memuji dedikasi ditunjukkan petugas perkhidmatan kecemasan.

William, anak sulung Putera Charles, turut menceritakan detik paling bermakna untuknya, termasuk satu pengalaman tidak dapat dilupakan membabitkan seorang lelaki yang akhirnya membunuh diri.

“Pengalaman itu menguatkan keazaman saya untuk membuka mata orang ramai terhadap isu kesihatan mental yang turut disokong isteri, Kate, dan adik saya Putera Harry,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2017 @ 10:52 AM