PELAJAR menggunakan topeng ketika berjalan ke sekolah di Kampung Suak Raya di Aceh Barat, semalam. - Reuters
Agensi

Jakarta: Lima wilayah Indonesia mengisytiharkan darurat ketika kawasan tanah gambut di Aceh terbakar dan ancaman ia merebak semakin meningkat ketika musim panas ini.

Jurucakap Agensi Pencengahan Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata, 18 helikopter dikerah untuk membantu memadamkan kebakaran di Sumatera dan Kalimantan.

Imej satelit menunjukkan jumlah kebakaran meningkat dari 150 kepada 179 Selasa lalu, katanya.

Menurut Sutopo, wilayah Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat dan Kalimantan Selatan mengisytiharkan darurat sebagai langkah berjaga-jaga dalam menghadapi keadaan lebih buruk dan persediaan untuk menangani asap tebal berpunca daripada kebakaran tanah gambut.

Keadaan darurat sebelum ini diisytiharkan di daerah Aceh Barat, tempat kawasan tanah gambut seluas 70 hektar terbakar dalam masa seminggu.

Kebakaran pada musim panas 2015 yang memusnahkan 2.6 juta hektar menyebabkan Sumatera, Borneo, Singapura, Malaysia dan selatan Thai dilanda jerebu teruk.

Syarikat perladangan dan penduduk kampung membakar ladang mereka kerana ia cara terpantas dan paling murah untuk membersihkannya berbanding menggunakan mesin.

Ketua agensi bencana Aceh, Yusmadi berkata, sekurang-kurangnya 23 penduduk daerah itu kini dirawat di hospital kerana masalah sukar bernafas.

Sutopo sebelum ini memberi amaran, kebakaran tanah gambut dan hutan mungkin bertambah buruk apabila musim kering memuncak pada Ogos dan September.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2017 @ 10:38 AM