ASKAR Afghanistan memeriksa kawasan kejadian semalam selepas Taliban menyerang pangkalan tentera di daerah Khakriz di Kandarhar. - EPA

Kandahar (Afghanistan): Sekurang-kurangnya 26 orang askar Afghanistan terbunuh dalam serangan Taliban di sebuah pangkalan tentera di wilayah Kandahar, selatan negara itu, kata kementerian pertahanan semalam.

Tentera udara Afghanistan berkata, ia melancarkan serangan untuk membantu tenteranya di darat ketika serangan selama beberapa jam di pangkalan berkenaan yang bermula lewat Selasa dan berakhir awal pagi semalam.

Kem berkenaan terletak berhampiran sempadan Helmand yang sebahagian besar kawasan dikuasai Taliban.

Sekurang-kurangnya 13 askar juga cedera dalam serangan itu, kata jurucakap kementerian, Jeneral Dawlat Waziri.

Sementara itu, komander tentera udara tempatan, Jeneral Raziq Shirzai berkata, pihaknya melancarkan beberapa serangan udara menyebabkan puluhan militan terbunuh, manakala askar yang cedera dibawa ke hospital di Kandahar dengan helikopter.

Sumber kanan tentera berkata, 12 anggota masih hilang, dan penyerang terbabit merampas senjata serta kenderaan ketika melarikan diri.

Taliban mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu di Twitter. -Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2017 @ 12:30 PM